saya..

My photo
butterworth, penang, Malaysia

Wednesday, April 7, 2010

SELAMAT HARI LAHIR

Selamat hari lahir sahabatku nun jauh di Sarawak. Semoga pertambahan usia ini akan lebih mematangkan kita. Peringatan untuk diri sendiri dan sahabat juga.

Pernah berangan-angan untuk mengabadikan tarikh-tarikh cantik pada tahun 2010 untuk acara-acara yang hanya sekali dalam seumur hidup tetapi ternyata rancangan manusia takkan mampu mengatasi rancangan Allah.

Takpa, sekurang-kurangnya kita masih manusia biasa yang menyimpan impian. Harapnya impian-impian ini masih boleh direalisasikan pada tahun hadapan.

InsyaAllah..Aminn..

Thursday, February 11, 2010

BUAT SEMUA TUGAS MAK....MAMPUKAH?

Hari Sabtu yang lepas, 6 Februari 2010, saya tidak ke mana-mana. Hanya temankan mak ke market yang jauhnya cuma 10 minit berjalan kaki. Selalunya ayah yang akan pergi temankan mak tapi hari ni, mak bagi ayah cuti. Mak tak berapa sihat sejak hari Khamis. Selesema mungkin jangkitan virus dari dekpin. Saya tanya mak, "nak masak apa kita hari ni?". "Mak pun taktau nak masak apa". Jadi kami pun jalan dan terus jalan. Mak pecahkan duit RM50 beli daging..mak kata nak buat sup untuk dekpin. Terus jalan lagi kat bahagian ikan pulak. Beli ikan temenung (kembung) untuk kucing dan untuk kita juga. Alih-alih nampak ketam. "Aha..mak, kita beli ketam la, kakcik belanja" saya kata.. Bukan apa, bisnes topup ada untung sikit. Sementara ada rezeki ni bolehla belanja famili. Mak Ayah bukan jenis makan luar. Kalau tak bolehla jugak belanja ikan bakar. Mak kata "Boleh..Nak masak gulai ka masak lemak?".."Gulai"..cepat ja saya jawab. Saya memang lebih suka gulai ketam kalau nak dibandingkan dengan masak lemak cili api ketam. Banyak juga kami borong hari tu. Lima jari kiri dan kanan tangan saya penuh dengan plastik beg. Mak pun.

Mak dah start pening. Mungkin sebab hidung mak tersumbat sebab selesema tu, bersangkut pulak dengan kepala. Lepas sarapan, ayah paksa mak pergi klinik. Saya drive walaupun klinik dekat ja. Bukan apa, dengan keadaan mak yang pening tu, nak jalan lagi tengah-tengah panas, rasa akan menambahkan seksa mak ja. Lagipun kemudahan dah ada, kenapa nak kufur nikmat kan. Alhamdulillah , masa kami sampai hanya ada 2 orang yang menunggu. Tapi dekat pukul 12tgh juga baru sampai rumah. Mak dah tak larat. Saya sinsing lengan baju, pakai apron, maka bermulalah tugas2 menyiang ikan dan memasak.

Menu hari tu :-Gulai ketam dengan nenas, ikan goreng, sayur, ulam dan sambal belacan. Nampak simple tapi bagi saya yang memang amatur bab memasak ni, memang mencabar.
Dengan berpandukan resipi mak, saya pun mula menumis, maka ini lah hasilnya, Gulai Ketam dengan Nenas. Beli ketam 6 ekor tapi, cukup sorang satu tapi sebab nak makan malam juga, kena la belah dua. Jadila makan sorang sikit. Banyak-banyak pun tak elok, kolestrol :)

Gulai masih menggelegak

Hidangan makan tengahari..

Ayah kata terima kasih sebab masak kat kami. Sungguh saya gembira. Erti hidup pada memberi-sekadar memetik kata-kata Abu Saif.

Selepas kemas dapur, basuh pinggan, saya pun teruskan rutin mak. Adunan Kuih Bakar (saya panggil Kuih Bangkit) yang mak dah uli pagi tadi perlu dibuat segera. Kalau tak, rugi la, basi. Mak memang tak boleh nak buat dah dek kerana keuzurannya. Dengan bantuan mak yang menunjukkan cara untuk membuatnya, saya pun mula la buat. Sesungguhnya saya rasa amatlah susah. Tapi dengan berlapang dada, saya cuba juga. Memang terkial-kial nak siapkan satu dulang pembakar pun. Sungguh menguji kesabaran. Bila terap dengan acuan, susah nak keluarkan. Bila dah keluar dari acuan, susah pulak nak masukkan dalam dulang. Macam-macam. Tapi saya memang tergelak sendiri. Mak boleh buat, macamana saya tak boleh buat ni. Bila dah siap satu dulang pembakar, berdebar-debar rasa menunggu hasilnya.


Kuih Bakar sedang dibakar

Saya bermula pukul 330 petang. Berhenti 30 minit untuk solat Asar. Semua adunan hanya siap pada pukul 630 petang. Punya la lama masa yang saya ambil. Jumlah kuih bakar kesemuanya 200biji. Sakit pinggang saya. Tapi sungguh terasa kepuasannya bila dilihat hasilnya.

Kuih Bakar siap dimasak !

Lepas kemas dapur, saya angkat baju, siap untuk solat Maghrib. Alhamdulillah mak ada beli frozen pau. Adik-adik kukus sendiri ja untuk minum petang. Tak payahla saya terkejar-kejar nak buatkan cucur pulak. Memang dah jadi budaya dalam rumah (tentunya hasil cara mak) akan ada minum petang sebabnya malam makan lambat.

Sebelum solat Isyak, saya tanak nasi. Lepas Isyak, saya hanya panaskan lauk-lauk yang siang dan masak sayur kobis pulak plus telur goreng untuk dekpin sebab dia tak makan ketam.

Malam tu saya betul-betul mengantuk, penat tapi saya puas dapat tolong mak.

Walaupun saya hanya buat 1/3 dari tugas seharian mak, saya betul-betul rasa penat. Macamana pulak mak yang buat macam-macam kerja dalam sehari dan meneruskan rutin-rutin ini setiap hari tanpa cuti, sungguh membuatkan saya rasa "Mampukah aku jadi seorang emak yang macam Mak"..Sungguh saya tak tahu.

Tapi dalam hati saya berdoa agar saya mampu sekuat, sebaik, setabah, sesabar, selembut, seprihatin mak dan se se se se yang seangkatan dengannya lagi.

Mak, Sugguh Aku Cinta Kamu...


Monday, January 25, 2010

KHASIAT PISANG

Hari ini saya ingin bercerita mengenai khasiat pisang. Mungkin pisang jarang dijadikan sebagai buah-buahan pilihan kalau dibandingkan dengan buah oren, epal dan sebagainya. Tetapi bagi saya, pisang menjadi pilihan di waktu perut berkeroncong minta diisi pada waktu pagi dan petang. Saya tidak pernah tahu khasiat pisang selain vitamin yang memang ada dalam buah sehinggalah kawan baik saya cik faizura menghantar emel mengenai khasiat pisang. Banyak rupanya khasiat pisang ni.

Ia mengandungi 3 jenis gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian yang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Baru saya tahu kenapa adik-adik saya akan makan pisang sebelum main badminton. Untuk tenaga segera rupanya.

Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.

Tekanan:
Merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mood dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira. Saya sangka perasaan gembira yang saya alami lepas makan pisang adalah kerana kenyang, rupanya disebabkan tindakbalas kimia :)

PMS:
Lupakan pil-pil hospital, makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mood anda.

Anemia:
Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah , yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan Darah Tinggi:
Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi; garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa Minda:
Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert).

Penghadaman:
Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar. (Teringat kawan saya selalu kata, makan pisang nanti cepat pergi toilet :) )

Keletihan:
Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu . Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas Jantung:
Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam Pagi:
Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Saraf:
Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda .

Obesiti dan Tekanan Kerja:
Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek . Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil . Makanlah pisang.

Ulser:
Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan Suhu:
Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool).

Seasonal Affective Disorder (SAD):
Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari . Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mood kita.

Ketagihan Rokok & Tembakau:
Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh .

Stress:
Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh . Bila kita stres, kadar metabolisme kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.

Strok:
Mengikut kajian dalam buku 'The New England Journal of Medicine', mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!

Gigitan Nyamuk:
Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.
Menakjubkan!

Lain-lain Penyakit Kulit:
Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah . (Cikgu saya pernah beritahu, adiknya tidak menggunakan krim yang dijual di farmasi dan sebagainya untuk menghilangkan parut, cuma gunakan kulit pisang-harga murah tapi berkesan : sekurang-kurangnya kita ada 'live testimony')

Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati.

Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, 'A banana a day, keeps the doctor away'.