saya..

My photo
butterworth, penang, Malaysia

Thursday, February 11, 2010

BUAT SEMUA TUGAS MAK....MAMPUKAH?

Hari Sabtu yang lepas, 6 Februari 2010, saya tidak ke mana-mana. Hanya temankan mak ke market yang jauhnya cuma 10 minit berjalan kaki. Selalunya ayah yang akan pergi temankan mak tapi hari ni, mak bagi ayah cuti. Mak tak berapa sihat sejak hari Khamis. Selesema mungkin jangkitan virus dari dekpin. Saya tanya mak, "nak masak apa kita hari ni?". "Mak pun taktau nak masak apa". Jadi kami pun jalan dan terus jalan. Mak pecahkan duit RM50 beli daging..mak kata nak buat sup untuk dekpin. Terus jalan lagi kat bahagian ikan pulak. Beli ikan temenung (kembung) untuk kucing dan untuk kita juga. Alih-alih nampak ketam. "Aha..mak, kita beli ketam la, kakcik belanja" saya kata.. Bukan apa, bisnes topup ada untung sikit. Sementara ada rezeki ni bolehla belanja famili. Mak Ayah bukan jenis makan luar. Kalau tak bolehla jugak belanja ikan bakar. Mak kata "Boleh..Nak masak gulai ka masak lemak?".."Gulai"..cepat ja saya jawab. Saya memang lebih suka gulai ketam kalau nak dibandingkan dengan masak lemak cili api ketam. Banyak juga kami borong hari tu. Lima jari kiri dan kanan tangan saya penuh dengan plastik beg. Mak pun.

Mak dah start pening. Mungkin sebab hidung mak tersumbat sebab selesema tu, bersangkut pulak dengan kepala. Lepas sarapan, ayah paksa mak pergi klinik. Saya drive walaupun klinik dekat ja. Bukan apa, dengan keadaan mak yang pening tu, nak jalan lagi tengah-tengah panas, rasa akan menambahkan seksa mak ja. Lagipun kemudahan dah ada, kenapa nak kufur nikmat kan. Alhamdulillah , masa kami sampai hanya ada 2 orang yang menunggu. Tapi dekat pukul 12tgh juga baru sampai rumah. Mak dah tak larat. Saya sinsing lengan baju, pakai apron, maka bermulalah tugas2 menyiang ikan dan memasak.

Menu hari tu :-Gulai ketam dengan nenas, ikan goreng, sayur, ulam dan sambal belacan. Nampak simple tapi bagi saya yang memang amatur bab memasak ni, memang mencabar.
Dengan berpandukan resipi mak, saya pun mula menumis, maka ini lah hasilnya, Gulai Ketam dengan Nenas. Beli ketam 6 ekor tapi, cukup sorang satu tapi sebab nak makan malam juga, kena la belah dua. Jadila makan sorang sikit. Banyak-banyak pun tak elok, kolestrol :)

Gulai masih menggelegak

Hidangan makan tengahari..

Ayah kata terima kasih sebab masak kat kami. Sungguh saya gembira. Erti hidup pada memberi-sekadar memetik kata-kata Abu Saif.

Selepas kemas dapur, basuh pinggan, saya pun teruskan rutin mak. Adunan Kuih Bakar (saya panggil Kuih Bangkit) yang mak dah uli pagi tadi perlu dibuat segera. Kalau tak, rugi la, basi. Mak memang tak boleh nak buat dah dek kerana keuzurannya. Dengan bantuan mak yang menunjukkan cara untuk membuatnya, saya pun mula la buat. Sesungguhnya saya rasa amatlah susah. Tapi dengan berlapang dada, saya cuba juga. Memang terkial-kial nak siapkan satu dulang pembakar pun. Sungguh menguji kesabaran. Bila terap dengan acuan, susah nak keluarkan. Bila dah keluar dari acuan, susah pulak nak masukkan dalam dulang. Macam-macam. Tapi saya memang tergelak sendiri. Mak boleh buat, macamana saya tak boleh buat ni. Bila dah siap satu dulang pembakar, berdebar-debar rasa menunggu hasilnya.


Kuih Bakar sedang dibakar

Saya bermula pukul 330 petang. Berhenti 30 minit untuk solat Asar. Semua adunan hanya siap pada pukul 630 petang. Punya la lama masa yang saya ambil. Jumlah kuih bakar kesemuanya 200biji. Sakit pinggang saya. Tapi sungguh terasa kepuasannya bila dilihat hasilnya.

Kuih Bakar siap dimasak !

Lepas kemas dapur, saya angkat baju, siap untuk solat Maghrib. Alhamdulillah mak ada beli frozen pau. Adik-adik kukus sendiri ja untuk minum petang. Tak payahla saya terkejar-kejar nak buatkan cucur pulak. Memang dah jadi budaya dalam rumah (tentunya hasil cara mak) akan ada minum petang sebabnya malam makan lambat.

Sebelum solat Isyak, saya tanak nasi. Lepas Isyak, saya hanya panaskan lauk-lauk yang siang dan masak sayur kobis pulak plus telur goreng untuk dekpin sebab dia tak makan ketam.

Malam tu saya betul-betul mengantuk, penat tapi saya puas dapat tolong mak.

Walaupun saya hanya buat 1/3 dari tugas seharian mak, saya betul-betul rasa penat. Macamana pulak mak yang buat macam-macam kerja dalam sehari dan meneruskan rutin-rutin ini setiap hari tanpa cuti, sungguh membuatkan saya rasa "Mampukah aku jadi seorang emak yang macam Mak"..Sungguh saya tak tahu.

Tapi dalam hati saya berdoa agar saya mampu sekuat, sebaik, setabah, sesabar, selembut, seprihatin mak dan se se se se yang seangkatan dengannya lagi.

Mak, Sugguh Aku Cinta Kamu...